AGAMA

10 Mutiara Quran

Dermakan harta.  Orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. (Dan ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik. (surah Al-Imran ayat 134).

Mengingati mati supaya kita lebih istiqamah.  Untuk menjadikan diri kita istiqomah, Mati adalah perkara yang perlu kita jadikan perkara nombor satu untuk kita muhasabah. Dengan mengingati mati ia dapat memberi kesedaran dan peringatan. Kita tidak boleh jamin apakah esok kita masih lagi akan dibangunkan. Justeru sentiasalah menjadikan detik-detik masa yang kita lalui itu bermanfaat. Waktu 15 minit berzikir ini lebih bermakna daripada 24 jam leka.

Curahan hati adalah kepada Allah. Ramai mahu berkongsi maklumat mengenai aktiviti kehidupan; yang manis, pahit, sedih, suka, duka, berkongsi tentang makanan yang sedap, tentang rumah, perabot dan sebagainya. Namun ingatlah dalam kegembiraan kita atau mereka berkongsi cerita, mungkin ada insan yang terselit kesedihan atau kepiluan. Atau mungkin kekaguman, mahu pun ada kedengkian. Kita tidak tahu, maka berlindunglah kamu dari pandangan mata yang jahat dan cemburu, mahupun penuh kekaguman. (Ini yang disebut ‘Ain). Sesungguhnya penyakit ‘Ain ini adalah penyakit syarie yang benar lagi nyata. Janganlah kita mengambil mudah mengenainya. Sebaik curahan hati adalah kepada Allah Subhanawata’ala serta memohon keredhaanNya setiap masa. Semoga Allah menjauhkan bahaya ‘Ain daripada keluarga kita.

Cinta Dunia.  Kemuliaan dunia adalah kerana harta dan kemuliaan akhirat adalah dengan amal soleh. Namun cinta dunia tidak kekal, tidak abadi. Andai kamu sedari hal ini pasti kamu tidak akan melupakanNya walaupun sedetik. Ingatlah, perkhabaran mengenai hari akhirat adalah benar, kiamat itu benar, alam barzakh itu benar, seksa di dalam kubur adalah benar, sakaratul maut itu benar. Dan kedatangan maut itu amatlah benar kerana janaji Allah itu adalah benar dan pasti, dengan tiada sedikitpun keraguan padanya. Maka bertaqwalah.

Pencarian harta benda tiada kesudahannya. Sedarilah bahawa pencarian harta benda tidak ada kesudahannya, kerana kesudahan hidup adalah kematian. Namun pencarian ilmu dan iman itu tiada noktah penghujungnya. Pencarian inilah yang akan menjadi banteng penyelamat selepas kematian. Berwaspada dengan pencarian harta dunia agar tidak terabai masa dan tenaga untuk pencarian ilmu dan iman.

Kita semua duta Islam. Sebagai muslim kita perlu memastikan agar dapat dielakkan sekecil-kecilnya dosa kerana Allah tetap mengira setiap dosa walaupun sebesar zarah. Ingatlah aib orang jangan dikongsi, video dan gambar yang tidak senonoh dan dalam keadaan memalukan haram disebarkan. Walaupun bukan mulut yang berbicara tetapi tangan kita adalah cerminan kepada apa yang diucap. Kelak di akhirat nanti jari jemari itu akan berbicara tentang perlakuan di dunia. Maka tulislah yang baik-baik dan berkatalah yang baik-baik kerana kita semua adalah duta Islam. Kita bawa imej Islam. Tunjukkan akhlak yang baik.

Umur semakin tua, perbanyakkan amalan.   Setiap beredarnya waktu kita semakin tua. (Namun hakikatnya sama ada tua atau muda, perkara utama patut direnungkan pada diri adalah Amalan. Tiada gunanya hidup di usia panjang jika tidak memperbaiki amalan. (sementara itu jangan fikir usia muda masih punya waktu yang panjang). Ajal maut tidak disyaratkan kepada jumlah usia. Lantaran itu perbanyakkan amalan, itulah sahaja bekalan di akhirat kelak.

Jaga hubungan dengan Allah. Kita selalu berusaha menjaga hubungan dengan manusia, ini sebaiknya. Kita sentiasa cuba menjaga dan mengambil hati orang. Ini digalakkan. Malah demi menjaga hati orang hati sendiri tidak diendahkan. Begitu pun kadang kala mereka tetap jauh daripada kita, tetap menyakiti, tetap memfitnah, tetap berpaling tadah. Namun, apa yang teramat penting ialah menjaga hubungan dengan Allah. Ini yang kita lupa, kita cuai, bahkan kita engkar dengan perintah-perintahNya. Kita tidak bersungguh-sungguh menjaga hubungan denganNya, sering melakukan dosa dan tidak bersungguh-sungguh melakukan yang Allah redha dan suka dan terus melakukan dosa. Justeru dekatkan diri dan jaga hubungan denganNya.

Memantapkan diri. Untuk mengubah diri, seseorang itu perlu melalui pembangunan jiwa, pembangunan mental dan pembangunan fizikal. Pembangunan jiwa satu proses melahirkan jiwa bertaqwa, padu dan mantap. Seyugia, ketiadaan jiwa yang taqwa mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh dan cacat. Umumnya manusia menggunakan kecerdasan akal dan fizikal untuk membina tamadun ummah. Justeru jika tidak seimbang, akan berlaku kegagalan dan sia-sia belaka. Manusia adalah khalifah di muka bumi ini, maka perlu mantapkan diri dengan perasaan cintakan Allah sepenuh jiwa dan raga. Tidak menyekutukanNya dalam apa jua bentuk kepercayaan. Inilah matlamat hidup mukmin sejati di muka bumi ini sebelum bertemu Allah di alam akhirat kelak, di mana semuanya akan dipertanggungjawabkan.

Sayang ibu bapa, tetapi sebenarnya tidak. Ada menggantung gambar ibu bapa di dinding rumah atau simpan di dalam dompet. Ada suka simpan gambar ibu bapa yang ditinggalkan, dijaga dengan baik dan diwarisi. Ada sering ke kubur hanya untuk membersihkan kuburan dan dicabut rumputnya, malah ada yang menabur sepenuh-penuhnya kuntuman mawar konon untuk mewangikan kuburan arwah. Ada yang menangis dan bersedih bertahun-tahun teringatkan arwah sehingga diri sendiri diabaikan. Namun bukan itu yang arwah ayahanda dan bonda kita mahukan, harapkan dan perlukan. Yang dipinta di dalam alam barzah anak-anak meneruskan bakti dan khidmat kepada mereka. Mereka menanti doa dan kiriman pahala anak-anak. Mereka perlukan sedekah harta yang diniatkan pahalanya untuk mereka daripada anak-anak. Mereka perlukan amal soleh yang dilakukan hasil didiik kepada anak-anak dan keturunannya; menceritakan kebaikannya, menyedekahkan al Fatihah setiap hari.   

 

Related posts

Seks Dalam Islam dan Adab Berasmara

admin

Enggan Mengeluarkan Zakat Akan Diazab

admin

Fitnah Zaman Siber

admin

Leave a Comment